BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday 2 July 2011

Kes Ponteng Sekolah

PELAJAR tingkatan dua dan tiga dikenal pasti sebagai kumpulan yang paling ramai terlibat dalam gejala ponteng sekolah pada tahun lalu.
Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir berkata, mengikut statistik kementeriannya, kebanyakan mereka menuntut di sekolah-sekolah dalam kawasan bandar dan pinggir bandar.
Beliau berkata, bilangan yang terlibat dalam gejala itu merangkumi 34,628 pelajar daripada keseluruhan lima juta pelajar di negara ini termasuk sekolah rendah dan menengah.
``Daripada jumlah itu 99 peratus adalah pelajar lelaki,'' katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Kempen Basmi Ponteng peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun menurut Mahadzir, bilangan tersebut bukanlah perkara yang membimbangkan atau serius kerana ia hanya meliputi 0.78 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar.
Malah katanya, bilangan itu juga menunjukkan penurunan berbanding tahun 1999 iaitu 38,053 pelajar.
Beliau berkata, kebanyakan pelajar yang ponteng menghabiskan mm
Beliau menambah, kebanyakan pelajar yang ponteng menghabiskan masanya pergi ke tempat-tempat hiburan.
Sementara itu Mahadzir berkata, pelancaran kempen membasmi ponteng sekolah, bukanlah bermakna gejala berkenaan semakin serius.
``Apa yang dilakukan oleh kementerian adalah langkah awal bagi menghalang gejala itu menular di kalangan pelajar lain terutama di sekolah-sekolah rendah,'' katanya.
Kempen itu juga katanya, bertujuan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat di negara ini terutama Kementerian Pendidikan, pelajar, ibu bapa, pihak sekolah dan orang ramai.
``Mereka harus sedar bahawa perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana apabila ia telah menjadi budaya, adalah sukar untuk membendungnya,'' ujarnya.
Sehubungan dengan itu katanya, antara langkah awal untuk mengawal gejala tersebut ialah dengan mewujudkan suasana ceria di sekolah.
``Suasana ceria tersebut bermaksud mewujudkan daya tarikan kepada para pelajar dengan pelbagai aktiviti seperti ko-kurikulum yang bersesuaian dengan tahap umur pelajar itu,'' jelasnya.
Beliau berkata, ibu bapa dan orang ramai juga harus menegur kumpulan pelajar yang disyaki ponteng sekolah terutama mereka yang melepak di pusat-pusat membeli belah.
Selain itu katanya, kementerian juga akan menyegerakan pelaksanaan sekolah satu sesi bagi mengatasi masalah tersebut.
Dalam pada itu beliau berkata, kempen tersebut yang bertemakan Menuju Ke arah Ponteng Sifar akan diadakan secara berterusan dan meliputi setiap negeri dan daerah.

0 comments: